Infaq

icon maklumat lanjut

 

DEFINISI INFAQ

 Infaq bermaksud pemberian (sumbangan) wang, harta dan sebagainya yang dibelanjakan untuk kebajikan seperti derma, sedekah. Sebagai contoh, "Asrama itu memerlukan infaq daripada orang ramai untuk membolehkan penyelenggaraan kos operasi hariannya". Berinfaq juga bermaksud memberikan atau mengeluarkan infaq. Contohnya, "Dia akan tetap menginfaq sekadar yang mampu" atau "Seseorang yang menginfaq untuk mencari keredaan Allah" dan "Mereka akan menginfakkan semua keuntungan itu kepada ahli ibadat, ahli zuhud dan ulama".

Dipetik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat

 HUKUM INFAQ

Terdapat tiga jenis hukum infaq (bergantung pada sasaran infaq atau kepada siapa dan untuk apa harta tersebut diinfaqkan)

  1. Wajib - Wajib apabila infaq tersebut dilakukan kepada orang-orang yang menjadi tanggungjawab kepada si penginfaq seperti isteri, anak dan orang tua.
  2. Sunnah - Sunnah ketika harta tersebut diberikan kepada orang lain yang memerlukan. Seperti menginfaq kepada anak-anak yatim, kaum fakir miskin, memberikan sumbangan untuk lembaga-lembaga sosial dan sebagainya.
  3. Haram - Haram berlaku apabila seseorang memberikan harta untuk hal-hal yang dilarang. Seperti memberikan sumbangan dana untuk kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan agama atau bermaksiat kepada-Nya.

Dipetik daripada petikan buku Panduan Muslim Sehari-hari karya Hamdaan Rasyid dan Saiful Hadi El-Sutha

 KELEBIHAN BERINFAQ

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya".

(Surah al-Baqarah, ayat 261)