Agihan 2024
MAJLIS PENYAMPAIAN BIASISWA DAN KOMPUTER RIBA MAIDAM
31 MAC 2024| 20 RAMADAN 1445H
Majlis Penyampaian Biasiswa kepada 21 pelajar dan Bantuan Komputer Riba kepada 15 pelajar telah diadakan sempena Majlis Iftar Perdana UniSZA 2024. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Dato' Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang DiPertua MAIDAM disaksikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam selaku Naib Canselor UniSZA. Turut hadir, YBhg. Dato’ Yusoff bin Muhamad (Ahli Lembaga Pengarah UniSZA), Prof Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM), Ahli Pengurusan Tertinggi UniSZA dan Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab UniSZA.
Semoga dengan sumbangan yang diberikan, pelajar dapat manfaatkan dengan sebaiknya.
1 APRIL 2024 | 21 RAMADAN 1445H
Pejabat Wakaf dan Endowmen UniSZA dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA telah mengadakan satu Program Agihan Makanan Berbuka Puasa sempena Kempen Infaq Ramadan yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan tahun ini. Sebanyak 360 pek nasi ayam telah berjaya diagihkan kepada pelajar UniSZA. Lokasi agihan adalah bertempat di Foyer Asrama Pelajar.
Inisiatif ini adalah satu cara yang bermakna untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dan meningkatkan semangat beramal dalam bulan Ramadan. Diharapkan program ini dapat terus dijalankan setiap kali bulan Ramadan dalam memberi manfaat kepada pelajar dan juga komuniti setempat.
MAJLIS PENYERAHAN KOMPUTER RIBA SUMBER WANG ZAKAT TABUNG HAJI
17 OKTOBER 2024| KHAMIS
Pejabat Wakaf dan Endowmen UniSZA telah mengadakan satu Majlis Penyerahan Komputer Riba menggunakan sumber wang zakat Tabung Haji yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Wakaf dan Endowmen.
Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff @ Che’ Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UniSZA,tetamu jemputan,Tuan Haji Nizan Johar bin Abdul Wahab, Pengarah Tabung Haji Negeri Terengganu serta Encik Haji Lutfi bin Safuan, Ketua Pemasaran Negeri Tabung Haji Terengganu. Turut hadir juga timbalan-timbalan dekan fakulti bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.
Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Pengarah Pejabat Wakaf dan Endowmen, Dr Ahmad Faizol bin Ismail. Dalam ucapan aluannya, beliau menekankan kepentingan program seperti ini untuk meningkatkan akses pendidikan bagi pelajar asnaf. “Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan antara UniSZA dan Tabung Haji untuk membantu golongan yang memerlukan dan memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk berjaya,” katanya.
Menerusi ucapan daripada pihak Tabung Haji, selaku penyumbang utama dalam majlis ini menyatakan komitmennya untuk terus menyokong program-program seumpama ini pada masa akan datang, dengan tujuan membantu lebih ramai pelajar asnaf di seluruh negara untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Sebanyak 10 komputer riba telah diserahkan kepada pelajar asnaf yang terpilih daripada pelbagai fakulti dan penyerahan dibuat oleh Timbalan Naib Canselor HEPA bersama Pengarah Tabung Haji.
Bantuan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dengan sebaik-baiknya dalam proses pembelajaran, terutama dalam era pembelajaran digital yang semakin berkembang.
MAJLIS PENYERAHAN KOMPUTER RIBA KEPADA PELAJAR PUSPA SUMBANGAN ZAKAT PERUMAHAN KINRARA BERHAD
3 DISEMBER 2024| SELASA
Seramai 14 pelajar Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), UniSZA telah menerima sumbangan komputer riba dalam sebuah majlis penuh bermakna. Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor HEPA, YBhg. Prof. Madya Dato’ Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff, dengan kehadiran Pengarah PUSPA, Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa dan Pengarah Pejabat Wakaf dan Endowmen UniSZA, Dr. Ahmad Faizol bin Ismail.
Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang menghadapi cabaran ketiadaan komputer riba sepanjang sesi pembelajaran. Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga penerima dan menjadi pemangkin kejayaan para pelajar PUSPA dalam perjalanan akademik mereka. Semoga usaha ini diberkati dan memberi manfaat yang berpanjangan.