SEJARAH PENUBUHAN
Penubuhan Wakaf dan Infaq UniSZA telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam Mesyuarat LPU Khas Bil. 2/2016 pada 20 Julai 2016. Susulan daripada kelulusan tersebut, Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) pada 31 Julai 2016 telah bersetuju untuk menubuhkan Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA.
Pejabat ini ditubuhkan bagi mengurus dan menyelaras segala hal ehwal berkaitan wakaf dan infaq di UniSZA. Ia beroperasi di bawah struktur Canselori sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) yang diketuai oleh seorang Pengarah. Antara fungsi utama pejabat ini adalah mendapatkan sumber dana wakaf dan infaq, mengurus serta mentadbir dana tersebut mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan, serta menyediakan laporan berkaitan kepada pihak-pihak berkepentingan secara telus dan berakauntabiliti.
Pada 16 Januari 2019, nama Pejabat Wakaf dan Infaq telah ditukar kepada Pejabat Wakaf dan Endowmen bagi mencerminkan peranan yang lebih menyeluruh dalam menguruskan dana wakaf, infaq, zakat dan endowmen di UniSZA.
