MAJLIS PENYERAHAN KOMPUTER RIBA
1 JANUARI 2025 | RABU
MAJLIS PENYERAHAN 33 BUAH KOMPUTER RIBA SUMBANGAN WAKALAH ZAKAT ETIQA GENERAL TAKAFUL
Seramai 33 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima komputer riba sumbangan wakalah zakat Etiqa General Takaful. Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, pada tahun ini, Etiqa General Takaful telah menunjukkan komitmen luar biasa dengan menyumbang dana zakat berjumlah RM200,000.00 kepada 400 pelajar, termasuk 33 unit komputer riba bernilai RM99,700.00.
“Pada hari ini, kita menyaksikan pemberian komputer riba ini kepada 33 pelajar daripada pelbagai fakulti dan sumbangan ini melambangkan keprihatinan, kepercayaan, dan harapan yang tinggi terhadap kebolehan para pelajar untuk mengubah nasib diri dan masyarakat.”
“Dengan bantuan komputer riba secara bersasar kepada pelajar dalam golongan asnaf fakir miskin dan fi sabilillah ini, ia dapat membantu memudahkan proses pembelajaran dalam kalangan pelajar”, katanya pada majlis Majlis Penyerahan Komputer Riba di Lobi Bangunan Canselori, UniSZA Kampus Gong Badak. Turut hadir, Pengarah Wilayah Etiqa Pantai Timur, Encik Muhamad Nurawi Abdul Rashid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ts. Dr. Shukor Abd Razak, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Ts. Dr. Shukor Abd Razak, Bendahari, Encik Suhaili Mohd, Pendaftar, Encik Muzafar bin Mohd Din, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany, Pengarah Pejabat Wakaf dan Endowmen, Dr. Ahmad Faizol bin Ismail dan Pengurus Etiqa Negeri Terengganu, En. Abdul Malek bin Salleh.
Prof. Dato’ Dr. Fadzli berkata, pada masa kini, penggunaan komputer riba adalah satu keperluan bagi setiap pelajar kerana pembelajaran atas talian merupakan norma baharu pengkuliahan yang sering dijalankan oleh para pensyarah dan juga dapat memudahkan pelajar untuk menyiapkan segala tugasan yang diberikan kepada mereka. “Pendidikan adalah wahana yang mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan, khususnya bagi golongan asnaf fakir dan miskin serta salah satu mekanisme utama untuk keluar dari belenggu kemiskinan, pendidikan harus diberikan perhatian serius”. “Oleh itu, usaha institusi seperti Etiqa General Takaful dalam menyalurkan zakat melalui bantuan pendidikan amatlah signifikan”, katanya ketika ditemui.
Tambahnya lagi, Pengurusan UniSZA berharap Etiqa General Takaful meneruskan serta meningkatkan sumbangan pada masa akan datang dan semoga dengan pemberian komputer riba itu pelajar dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
5 JANUARI 2025 | AHAD
MAJLIS PENYERAHAN 35 BUAH KOMPUTER RIBA SUMBANGAN YAYASAN TAQWA WILAYAH PERSEKUTUAN - MAIWP
Seramai 35 orang pelajar asnaf, fakir miskin atau kurang berkemampuan daripada pelbagai fakulti menerima sumbangan komputer riba dengan kos pembelian sebanyak RM 118,125.00 daripada Yayasan Taqwa - MAIWP.
Bantuan pendidikan ini merupakan salah satu bentuk bantuan terpenting kepada golongan asnaf fakir dan miskin kerana pendidikan merupakan salah satu kaedah atau tiket penting yang dapat mengubah kehidupan dan mengeluarkan golongan ini daripada kepompong kemiskinan.
Komputer riba yang disumbangkan ini bukan sekadar alat, tetapi simbol keprihatinan terhadap keperluan pelajar dan komitmen Yayasan Taqwa untuk memperkasakan generasi muda.
Dengan adanya kemudahan ini, para pelajar akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pembelajaran abad ke-21, terutamanya dalam konteks pendigitalan yang semakin berkembang pesat.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Tuan Haji Zabidi bin Nasan pada Majlis Penyerahan Komputer Riba Sumbangan Zakat Yayasan Taqwa MAIWP.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Pendaftar, Encik Muzafar bin Mohd Din, Bendahari, Encik Suhaili bin Mohd, Penasihat Undang-undang, Encik Mohd Fuad bin Husaini dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany.